القرءان الكريم

Kelebihan Al-Quran Kelebihan Al-Quran Al-Quran ialah Kitabullah yang terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Al-Quran merupakan senjata yang paling mujarab yang melimpah ruah, mata air yang tidak mungkin kering, di dalamnya penuh dengan nur hidayah rahmat dan zikir. Al-Quran diturunkan untuk mengajar manusia tentang pengesaannya kepada Allah (tauhid). Konsep ibadat yang jelas dan menyeluruh agar manusia sentiasa mendapat bekalan yang baru dan segar. Mengajak manusia berfikir tentang ciptaan, pengawasan dan penjagaan yang ditadbirkan oleh yang Maha Agong agar dapat mengenal sifat-sifatNya yang Unggul. Di dalam Al-Quran dipaparkan juga contoh tauladan dan juga kisah-kisah yang benar berlaku sebelum turunnya Al-Quran dan pada masa penurunan Al-Quran. Dengan itu manusia mendapat pengajaran dan panduan dalam mengharungi kehidupan sebagai muslim yang sejati dan benar dalam semua bidang kehidupan. Al-Quran menjelaskan juga persoalan tentang akhir kehidupan manusia, situasi terakhir yang akan dirasai oleh manusia sebelum bumi ini dihancurkan oleh Allah untuk bermulanya hari qiamat dan nasib tiap-tiap insan sama ada ke syurga atau ke neraka. Sebelum Al-Quran diturunkan ada banyak kitab suci dan suhuf yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada nabi-nabi dan rasul-rasulNya. Antara yang termasyhur ialah kitab Zabur yang diturunkan kepada nabi Daud a.s, kitab Taurat yang diturunkan kepada nabi Musa a.s, dan kitab Injil yang diturunkan kepada nabi Isa a.s tetapi tidak syak lagi bahawa Al-Quran adalah kitab yang paling utama dan termulia di sisi Allah S.W.T. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang berbunyi: Dari Aisyah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu mempunyai kemegahan yang mana manusia berbangga dengannya dan menjadi kemegahan kebanggaan umatku ialah Al-Quran yang mulia. Al-Quran terpelihara dan susunannya tidak berubah-ubah dan tidak boleh dipinda atau dihapuskan. Walaupun banyak usaha dilakukan oleh musuh-musuh Islam untuk mengubah dan meminda isi kandungan Al-Quran atau memutar belit ayat-ayat dan surah-surah, setiap kali usaha itu dibuat ia tetap dapat diketahui termasuk juga usaha golongan-golongan kuffar. Al-Quran adalah satu perlembagaan yang lengkap bagi semua aspek kehidupan, mengandungi semua yang dihajati oleh manusia walaupun sebahagian daripada huraiannya tidak terperinci. Tujuannya Allah menyuruh manusia menggunakan fikiran yang sihat dan sempurna untuk mencari dan mengkaji berpandukan saranan yang diberi oleh Allah S.W.T. Dalam Al-Quran Allah S.W.T berfirman: Sesungguhnya telah datang kepada kau cahaya kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata kebenarannya dengan itu Allah menunjukkan jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaanNya dan denganya Tuhan keluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang dengan izinNya dan dengannya juga Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang betul dan harus. (Surah Al-Maidah: 14 &15) Firman Allah S.W.T lagi: Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya dan ianya menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa. (Surah Al-Baqarah: 2) Sebuah hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi: Abu Zar r.a berkata bahawa beliau meminta Rasulullah s.a.w memberi satu pesanan yang berpanjangan. Rasulullah s.a.w bersabda: “Semaikanlah perasaan taqwa kepada Allah kerana ia adalah sumber bagi segala amalan-amalan baik. Aku meminta supaya baginda menambah lagi. Tetapkanlah membaca Al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehdupan ini dan bekalan untuk hari akhirat.” Kita dikehendaki membaca, mendalami dan menghayati isi kandungan Al-Quran kerana ia diturunkan bukan untuk dijadikan perhiasan sahaja, dengan itu kita mendapat faedah yang besar bukan sahaja pahala da keredhaan Allah tetapi juga kegunaan lain dalam kehidupan sehari-hari. Membaca Al-Quran dikira sebagai berzikir dan zikir membaca Al-Quran lebih afdal dan utama daripada zikir-zikir yang lain. Oleh itu membaca Al-Quran adalah sebagai ibadat tetapi tidaklah melebihi daripada ibadat-ibadat yang wajib. Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda: Semulia-mulia ibadat umatku ialah membaca Al-Quranul Karim ( ibadat yang bukan wajib). Membaca Al-Quran disifatkan sebagai santapan rohani kepada tiap-tiap orang Islam. Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis berbunyi: Sesungguhnya Al-Quran ini ialah hidangan Allah S.W.T maka hendaklah kamu terima hidangan Allah sebanyak mana yang kamu boleh. Al-Quran juga merupakan senjata yang paling berkesan untuk membersihkan jiwa dan menyinarkannya. Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda: Daripada Ibnu Umar r.a berkata: “Rasulullah s.a.w telah bersabda, hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Katanya dengan banyak mengingati mati dan membaca Al-Quran.” PAHALA MEMBACA AL-QURAN Allah S.W.T. Yang Maha Pemurah memberi pahala yang amat besar kepada orang yang membaca Al-Quran, tiap-tiap satu huruf ada pahalanya dan tiap-tiap satu ayat pun ada ditentukan pahalanya yang tidak sama antara satu dengan yang lain. Pahala tiap-tiap huruf Al-Quran dijelaskan dalam sebuah Hadis dari Ibnu Masud r.a dari Rasulullah s.a.w: Daripada Ibnu Masud r.a telah berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda/; Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf. Mengenai pahala tiap-tiap ayat telah disebut dalam beberapa hadis antaranya yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w: Sesiapa yang membaca Al-Quran sepuluh ayat dalam satu malam tidak dimasukkan ke dalam golongan yang lalai. Sesiapa yang memelihara sembahyang fardu tidak termasuk dalam golongan yang lalai dan sesiapa yang membaca 100 ayat pada satu malam dimasukkan ke dalam golongan yang taat. Barangsiapa yang mendengarkan satu ayat daripada Al-Quran ditulis baginya satu kebajikan yang berlipat kali ganda dan barang siapa yang membacanya adalah baginya cahaya pada hari Qiamat. Adapun pahala membaca surah-surah banyak diriwayatkan dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w antaranya: Sesiapa yang mambaca surah Yasin dipermulaan hari, segala hajatnya bagi hari itu dipenuhi. Sesiapa yang membaca surah al-Waqiah pada tiap-tiap malam kebuluran/kepapaan tidak akan menima dirinya. Selain daripada pahala yang disebut sebelum ini, pahala membaca dalam solat dan pahala membaca dengan berwuduk lebihbesar ganjarannya daripada tidak berwuduk. Berpandukan Hadis Rasulullah s.a.w yang panjang dapat disimpulkan seperti berikut: 1. Pahala membaca Al-Quran dalam solat bagi tiap-tiap satu huruf seratus kebajikan. 2. Pahala membaca dengan berwuduk di luar solat bagi tiap-tiap satu huruf sepuluh kebajikan. KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN Orang yang selalu membaca Al-Quran semata-mata kerana Allah diberi kelebihan yang tinggi dan berbeza semasa mereka masih hidup ataupun sesudah berada di akhirat di samping kemuliaan yang dikurniakan kepada orang yang membaca Al-Quran kelebihan melimpah juga kepada kedua ibubapanya. Hadis dari Rasulullah s.a.w yang berbunyi: Sesiapa yang membaca Al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, ibubapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinarannya akan melebihi daripada cahaya matahari jika matahari itu berada di dalam rumah-rumahnya di dunia ini. Jadi bayangkanlah bagaimana pula orang yang dirinya sendiri mengamalkan dengannya. Al-Quran juga dapat memberi syafaat (pertolongan) yang paling tinggi di sisi Allah S.W.T di hari qiamat. Ini berpandukan kepada Hadis Rasulullah s.a.w yang berbunyi: Tidak ada syafaat yang paling tinggi melainkan Al-Quran yang bukan Nabi dan bukan malaikat dan sebagainya. Hadis lain daripada Othman Ibnu Affan r.a dari Rasulullah s.a.w yang berbunyi: Sebaik-baik kamu yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain. KERUGIAN MEREKA YANG TIDAK MEMBACA AL-QURAN Dalam hadis Rasulullah s.a.w baginda ada menyebut tentang orang yang tidak ada langsung membaca Al-Quran dan rongga mulutnya kosong dengan ayat-ayat Al-Quran seperti rumah yang kosong dari penghuni. Hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi: Sesungguhnya orang yang tidak ada pada rongganya sedikitpun daripada Al-Quran seperti rumah yang ditinggalkan kosong. ADAB MEMBACA AL-QURAN Seseorang yang membaca Al-Quran seolah-olah ia berada di sisi Allah S.W.T dan bermunajat kepadaNya maka hendaklah menjaga adab-adab yang tertentu yang layak di sisi tuhan Yang Maha Agong lagi Maha Mulia. Ulamak-ulamak muktabar telah menggariskan beberapa adab sebagai panduan sepeti berikut: 1. Hendaklah sentiasa suci pada zahir dan batin kerana membaca Al-Quran adalah zikir yang paling afdal (utama) dari segala zikir yang lain. 2. Hendaklah membaca di tempat yang suci dan bersih yang layak dengan kebesaran Yang Maha Agong dan ketinggian Al-Quranul Karim. Para Ulamak berpendapat sunat membaca Al-Quran di Masjid iaitu tempat yang bersih dan mulia di samping dapat menambah kelebihan pahala-pahala iktiqaf. 3. Hendaklah memakai pakaian yang bersih, cantik dan kemas. 4. Hendaklah bersugi dan membersihkan mulut. Melalui mulut tempat mengeluarkan suara menyebut ayat Al-Quran. Hadis Rasulullah s.a.w berbunyi: Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya Al-Quran maka peliharalah dengan bersugi. Berkata Yazid bin Abdul Mallek: Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya Al-Quran maka peliharalah dengan bersugi. 5. Hendaklah melahirkan di dalam ingatan bahawa apabila membaca Al-Quran seolah-olah berhadapan dengan Allah dan bacalah dalam keadaan seolah-olah melihat Allah S.W.T. Walaupun kita tidak dapat melihat Allah sesungguhnya Allah tetap melihat kita. 6. Hendaklah menjauhkan diri dari ketawa dan bercakap kosong ketika membaca Al-Quran. 7. Jangan bergurau dan bermain-main ketika sedang membaca Al-Quran. 8. Hendaklah berada dalam keadaan tenang dan duduk penuh tertib. Jika membaca dalam keadaan berdiri hendaklah atas sebab yang tidak dapat dielakkan adalah harus. 9. Setiap kali memulakan bacaan lebih dahulu hendaklah membaca Istiazah: (A'uzubillahiminasy-syaitannirrajim). Kerana memohon perlindungan dari Allah dari syaitan yang kena rejam. 10. Kemudian diikuti dengan membaca basmallah: (Bismillahirrahmanirrahim). Hendaklah membaca Bismillah itu pada tiap-tiap awal surah kecuali pada surah At-Taubah. 11. Hendaklah diulang kembali membaca Istiazah apabila terputus bacaan di luar daripada Al-Quran. 12. Hendaklah membaca dengan Tartil (memelihara hukum Tajwid). Secara tidak langsung menambah lagi minat kepada penghayatan ayat-ayat yang dibawa dan melahirkan kesan yang mendalam di dalam jiwa. Firman Allah S.W.T: Kami membaca Al-Quran itu dengan tartil. (Surah Al-Furqan: 32) Hendaklah kamu membaca Al-Quran dengan tartil. (Surah Al-Muzammmil: 4) Pengertian Tartil pada bahasa: Memperkatakan sesuatu perkara itu dengan tersusun dan dapat difahami serta tanpa gopoh-gopoh. Menurut Istilah Tajwid ialah membaca Al-Quran dalam tenang dan dapat melahirkan sebutan huruf dengan baik serta meletakkan bunyi setiap huruf tepat pada tempat-tempatnya. Saidina Ali k.w berkata: Pengertian tartil ialah mentajwidkan akan huruf-huruf Al-Quran dan mengetahui wakaf-wakafnya. 13. Hendaklah berusaha memahami ayat-ayat yang dibaca sehingga dapat mengetahui tujuan Al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T. Allah S.W.T. berfirman: Inilah Al-Quran yang memimpin jalan yang lurus. (Surah Al-Israi’: 9) Firman Allah S.W.T.: Kami turunkan Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang mukminin. (Surah Al-Isra’: 82) Firman Allah S.W.T. lagi: Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu dengan penuh barakah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran. (Surah Sad: 29) 14. Hendaklah menjaga hak tiap-tiap huruf sehingga jelas sebutannya kerana tiap-tiap satu huruf mengandungi sepuluh kebajikan. Hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi: Diriwayatkan dari Tirmizi dari Abdullah bin Masud daripada Rasulullah s.a.w telah bersabda sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (Al-Quran) maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf. 15. Hendaklah membaca al-Quran mengikut tertib Mashaf. Dilarang membaca dengan cara yang tidak mengikut susunan kecuali diceraikan surah-surah dengan tujuan mengajar kanak-kanak adalah diharuskan. 16. Hendaklah berhenti mambaca apabila terasa mengantuk dan menguap kerana seseorang yang sedang membaca Al-Quran ia bermunajat kepada Allah dan apabila menguap akan terhalang munajat itu kerana perbuatan menguap adalah dari syaitan. Berkata Mujahid: Apabila kamu menguap ketika membaca Al-Quran maka berhentilah dari membaca sebagai menghormati Al-Quran sehingga selesai menguap. 17. Hendaklah meletakkan Al-Quran di riba atau di tempat yang tinggi dan jangan sekali-kali meletakkannya di lantai atau di tempat yang rendah. Sabda Rasulullah s.a.w berbunyi: Ubaidah Mulaiki r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Wahai kaum ahli-ahli Al-Quran jangan gunakan Al-Quran sebagai bantal tetapi hendaklah kamu membacanya dengan teratur siang dan malam.” 18. Hendaklah memperelokkan bacaan dan menghiaskannya dengan suara yang baik. Sabda Nabi s.a.w dalam sebuah hadis: Telah bersabda Nabi Muhammad saw, hiasilah Al-Quran dengan suara-suara kamu. 19. Setiap bacaan hendaklah disudahi dengan membaca: (Sadaqallahul’azim). 20. Disunatkan berpuasa di hari khatam Al-Quran dan diikuti dengan mengumpul ahli keluarga dan sahabat handai bersama-sama di dalam hari khatam Al-Quran. Dalam sebuah hadis ada menjelaskan kelebihan orang yang telah khatam Al-Quran menerusi sebuah hadis yang berbunyi: Telah bersabda Nabi Muhammad s.a.w, sesiapa yang telah khatam Al-Quran baginya doa yang dimakbulkan.

Motivasi Diri

Kejayaan bukanlah suatu misteri yang tidak terungkap. Malah sekiranya seseorang itu telah melakukan sesuatu perkara maka orang lain pasti mampu melakukannya juga. Kita mungkin tidak bercita-cita terlalu tinggi seperti Datuk Azhar Mansor yang berlayar di lautan luas seorang diri; atau seperti Datuk Abdul Malek yang berenang merentasi Selat Inggeris; atau seperti Shalin Zulkifli yang menjadi ratu bowling negara; atau seperti Yap Sui Lin yang mendapat 16A dalam SPMnya. Tetapi janganlah pula sekadar selesa dengan pencapaian yang biasa hingga tiada apa yang boleh dibanggakan oleh kita atau yang boleh diceritakan kepada anak cucu kita nanti. Sekurang-kurangnya, kalau kita sebagai pekerja maka berusahalah untuk menjadi pekerja yang cemerlang hingga menerima anugerah dari majikan. Kalau kita seorang usahawan binalah empayar perniagaan kita yang mampu diwarisi oleh anak cucu. Kalau kita sebagai seorang pelajar belajarlah dan berusahalah hingga sampai ke peringkat yang tertinggi. Kejayaan bolehlah ditakrifkan sebagai pencapaian seseorang menepati matlamat atau sasaran yang telah ditetapkan olehnya. Oleh itu kejayaan adalah suatu bentuk yang subjektif dan relatif dengan individu itu sendiri. Bagi seseorang usahawan, memperolehi pendapatan RM10,000 sebulan itu adalah menepati sasaran awalnya dan baginya ia adalah satu kejayaan. Tetapi RM10,000 ini mungkin suatu kegagalan bagi usahawan yang pada kebiasaannya mampu menjana pendapatan RM50,000 sebulan. Apabila kita tiba ke matlamat yang telah ditetapkan kita mula rasa selesa. Setelah beberapa ketika kita rasa tiada apa lagi yang mencabar di tahap tersebut. Kalau kita terus berada dalam zon selesa itu maka lambat laun kita akan gagal kerana orang lain sudah semakin maju. Oleh itu perlu bagi kita setelah mencapai satu sasaran, kemudiannya mencabar diri untuk maju ketahap yang seterusnya pula. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk cabar diri bagi terus maju dalam kehidupan. 1. Letakkan Sasaran Yang Tinggi Apabila satu matlamat dicapai maka teruslah menetapkan matlamat baru yang lebih tinggi lagi. Misalnya, dulunya sebagai seorang pelajar kita sering dapat nombor yang tercorot dalam kelas maka letaklah matlamat untuk meletakkan nama kita dalam 10 pelajar terbaik. Cabar diri untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai sasaran itu. Kalau satu hari kita berjaya merealisasikannya, maka mula letakkan sasaran baru untuk jadi pelajar nombor 1 pula. Kalau kita seorang usahawan maka letakkan sasaran untuk mengembangkan perniagaan kita ke seluruh pelusuk negeri bukan sekadar berniaga setempat sahaja. Kalau sasaran itu dicapai, cabar diri dengan sasaran baru untuk mengembangkan perniagaan ke seluruh negara dan tidak mustahil selepas itu sampai ke peringkat antarabangsa pula. Sasaran yang tinggi ini sentiasa membuatkan kita memandang ke depan. Hasilnya, tanpa kita sedari kita semakin hari semakin maju dalam bidang yang kita ceburi tersebut. 2. Cemburu Dengan Kejayaan Orang Lain Lihat mereka yang lebih berjaya dari kita. Kalau orang lain boleh kita juga boleh. Untuk maju kita mesti cemburu dengan kejayaan orang lain dan cabar diri kita untuk berusaha lebih dari orang lain. Kalau kita tidak tahu bagaimana mahu melakukannya maka belajarlah dari mereka yang telah berjaya. Buka mulut dan bertanya. Jangan sekadar berdiam diri kerana tiada apa yang berlaku kalau kita tidak bertindak. Baca kisah-kisah kejayaan orang lain, hayati bagaimana mereka menghadapi cabaran dan menyusuri liku-liku kepayahan sebelum nama mereka tersohor. Sikap cemburu dengan kejayaan orang lain ini mestilah ditanam untuk membentuk suatu persaingan yang sihat bukannya cemburu yang membawa kepada sifat dengki dan irihati yang membuatkan kita mengambil langkah-langkah buruk menjatuhkan saingan kita. Perasaan cemburu ini patut terbit lebih-lebih lagi apabila mereka yang lebih lemah, lebih muda, dan kurang upaya dari kita mampu mencapai satu pencapaian yang luar biasa. Saudara Abdul Halim, seorang yang kudung kaki dan tangannya tetapi boleh belajar masuk universiti, keluar sebagai akauntan, buka syarikat sendiri dan pernah terima anugerah daripada PM Malaysia. Tak cemburukah kita? 3. Elakkan Dari Sikap Cepat Puashati Sikap cepat berpuashati adalah penyakit yang menghalang diri kita untuk terus berjaya. Apabila kita sudah meraih pendapatan RM10,000 sebulan kita mula rasa selesa dan kita berkata, “Aku ni kira oklah, berapa kerat sangat orang yang meraih pendapatan lima angka sebulan. Sekurang-kurangnya dah ada rumah sendiri berapa ramai lagi orang yang tidak mampu beli rumah. Kira ok lah aku ni… ”. Sikap puashati beginilah yang membuatkan kita berhenti untuk berusaha dan mencipta kejayaan yang lebih besar lagi. Kenapa tidak kita ambil contoh orang yang lebih berjaya dari kita? Kenapa sering membandingkan diri dengan orang yang lemah dan kurang dari kita? Bandinglah dengan mereka yang lebih berjaya, yang memiliki bangunan sendiri, yang menjadi jutawan, yang berkereta mewah, yang memiliki rumah-rumah untuk disewakan dan sebagainya maka barulah tercabar bahawa kita belum lagi OK! Jadi, usah lagi berpuashati dengan pencapaian kita kerana setiap kali kita berjaya maka kita pasti boleh pergi lebih jauh lagi. 4. Soal Diri Dengan Soalan Positif Untuk berjaya, soal diri dengan soalan-soalan yang positif. Misalnya, soalan-soalan seperti berikut hanya membawa diri kita untuk merasa lemah dan tidak berdaya: Kenapalah aku gagal? Mengapa nasib aku sentiasa malang? Kenapalah orang semua tak suka aku? Apalah nak jadi dengan aku ni? Sebaliknya soalan-soalan berikut pula akan membuatkan kita berfikir, mencabar diri dan membolehkan kita mengumpul kekuatan untuk atasi setiap halangan. Apa yang belum aku lakukan lagi? Bagaimana aku nak tingkatkan 20% lagi pendapatan aku bulan depan? Apakah kelebihan diri aku yang belum aku bongkar lagi? Dimana aku nak dapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk maju dalam bidang ini? Siapa yang boleh bantu aku? Jadi kita tidak berjaya kerana bertanyakan soalan yang salah kepada diri kita. Oleh itu berhati-hatilah dengan suara hati. Nilai betul-betul soalan yang kita tanyakan pada hati kita adakah ia akan mencabar kita untuk terus maju atau hanya melemahkan kita. 5. Tingkatkan ‘Standard’ Anda Untuk berjaya kita kena cabar diri untuk tingkatkan ‘standard’ kita. Misalnya, kita berkata pada diri kita bahawa tidak ‘standard’lah untuk selama-lamanya jadi kerani, 5 tahun dari sekarang mesti nak jadi pengurus pula. Tidak ‘standard’ lah untuk selama-lamanya bekerja dengan orang, 10 tahun dari sekarang mesti jadi bos pula. Tidak ‘standard’ lah selama-lamanya dapat markah ‘C’, 3 bulan dari sekarang aku mesti dapat ‘A’ pula. Tidak ‘standard’ lah asyik bawa kereta Jepun aje, 5 tahun dari sekarang aku mesti nak bawa kereta Jerman pula. Tidak ‘standard’ lah untuk berumah teres sahaja, 10 tahun dari sekarang aku mesti nak ada rumah banglo pula. Tujuannya bukan untuk menunjuk-nunjuk atau untuk takbur tetapi untuk membuatkan kita mahu berusaha lebih gigih lagi demi memenuhi tuntutan hidup kita yang mengikut ‘standard’ baru itu. Lagi pula kita tidak melafazkan kata-kata itu kepada orang lain tetapi kita tujukan kata-kata tersebut hanya kepada diri sendiri sebagai satu bentuk cabaran. Perlu diingatkan bahawa kita hanya boleh hidup dalam ‘standard’ yang lebih tinggi hanya setelah kita berjaya merealisasikan pendapatan yang mampu menampung ‘standard’ tersebut. Jangan pula menjadi orang yang papa asal bergaya. Malah Islam sendiri tidak menghalang umatnya untuk hidup selesa apabila punya kemampuan. Asal sahaja keselesaan itu tidak menghalang kita untuk terus menjadikan hidup ini sebagai suatu ibadah yang mengningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita. Oleh itu, teruslah cabar diri untuk berjaya dalam hidup kita.
Pada suatu hari, Luqman al-Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, sesetengah orang pun berkata, "Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki. Setelah mendengarkan desas-desus daripada orang ramai, maka Luqman pun turun daripada himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang di pasar itu berkata pula, "Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu. Sungguh kurang adab anak itu" Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. kemudian orang ramai pula berkata lagi. "Lihat itu, dua orang menaiki seekor himar, sungguh menyeksakan himar itu". Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun daripada himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata., "dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak ditunggai." Dalam perjalan pulang ke rumah, Luqman al-Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya " Sesungguhnya tiada seorang pun terlepas daripada percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah SWT sahaja. Barang siapa mengenali kebenaran, itu lah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap perkara" Kemudian Luqman al-Hakim berpesan kepada anaknya. Katanya, "Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemulian hatinya (keperibadianya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang yang suka merendah-rendahkan dan meringa-ringankanya".