Bahan P & P

FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM


Sebelum kita meninjau Falsafah Pendidikan Islam, adalah lebih elok diperincikan dahulu tentang Falsafah Islam itu sendiri dan juga asal perkataan falsafah.  Perkataan falsafah berasal daripada bahasa Yunani Kuno, dan dalam pengertian yang bebas ia bermaksud "Cintakan Hikmah"(Al-Syaibany, 1991)  Hikmah ialah satu pandangan dan fikiran yang tinggi atau jauh serta matang.  Pengamatannya tidak dapat dicapai oleh pengetahuan biasa.
    Dalam Oxfort Dictionary (1982) ditakrifkan falsafah sebagai:
    "Seeking after wisdom or knowledge especially that which deals with ultimate   reality, or with the most general causes and principles of things and ideas and human perception and knowledge of them, physical phenomena and ethics"
    Jadi, falsafah merupakan satu usaha untuk mencari kebenaran, (seeking the thruth), dan kebenaran itu sebenarnya hanya Allah.  Kalau kita cuba mencari erti hakikat hidup, maka ini adalah falsafah.  Hakikat hidup yang sebenar hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.  Yang kita tahu berdasarkan apa yang diberitahu oleh Allah, maka itulah yang benar dan mutlak.  Yang kita fikirkan sendiri menjadi falsafah kita dan tidak bersandarkan kepada kitab Allah, maka itu tidakalah sebenar, ia tidak mutlak dan ianya bersifat relatif.  Sebab itu bermacam-macam falsafah timbul hasil pemikiran manusia.  Seperti Liberalisme, Idealisme, Asetisme, Eksistensialime, Hedonisme, Kapitalisme, Kommunisme dan banyak lagi.  Jika falsasfah itu berpunca daripada Allah atau wahyu, maka ia akan sama sahaja perinsipnya dan juga matlamatnya.  
    Falsafah Islam ialah falsafah yang berteraskan wahyu, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Jadi apabila seseorang Islam yang faham Islam membincangkan mengenai falsafah, tidak kira sama ada falsafah hidup atau falsafah pendidikan atau pun yang lain-lain, perbincangannya tidak akan lari daripada prinsip dan matlamat Islam. Sebaliknya, seorang Islam yang tidak memahami hakikat Islam, malah ia telah lebih dahulu mendalami falsafah lain daripada Islam, menjadi sangat susah ia menerima falsafah Islam.  Malah falsafahnya yang dikatakan Islam itu dalam banyak hal bertentangan dengan kehendak Islam.
    Jika falsafah itu diertikan dengan "cintakan hikmah atau kebenaran" maka falsafah Islam bererti cintakan hikmah atau kebenaran yang berasaskan ajaran Islam.   Dan ajaran Islam itu bersumberkan wahyu, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.  Failasuf Islam dari setiap zaman, apabila membincangkan tentang falsafah biasanya mereka tidak akan lari daripada soalan-soalan berikut sebagai asas perbincangan, iaitu:  Siapa anda (apa hakikat diri anda)?  Dari mana anda datang? Kenapa anda berada di sini (alam dunia)? Kemana anda akan pergi?  Apa tujuan hidup?  Dan apakah hakikat mati? (Yaljin, 1991).
    Perkataan hikmat disebut beberapa kali di dalam Al-Quran dengan maksud yang berbeza mengikut qarinah ayat berkenaan.  Hikmah ada kalanya bermaksud bijaksana (surah An-Nahli 125).  Mengikut Muhammad Nasir (1978) hikmah di sini bermaksud mengenal golongan.  Sheikh Muhammad Abduh pula berkata bahawa "Hikmah itu ialah memahami sesuatu tentang rahsia dan faedahnya".
    Untuk memahami sesuatu tentulah memerlukan ilmu, kerana ilmulah penyuluh untuk mengenal sesuatu.  Jadi ilmu ini tentulah ilmu yang benar.  Dalam versi yang lain Muhammad Abduh mengatakan bahawa "Hikmah itu ilmu yang benar yang menjadi pengerak untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang berfaedah"
    Orang yang mempunyai hikmah ini digelar "Hakeem".  Ia bermaksud orang yang mahir dalam sesuatu bidang dan melakukannya dengan cukup baik dan halus (Muhammad Nasir, 1978).  Adakalanya hikmah itu bermaksud ilmu, iaitu ilmu yang tinggi martabatnya.  Ini berdasarkan ayat 269 surah al-Baqarah. Orang yang mempunyai hikmah mempunyai pandangan yang jauh, bukan setakat lima atau enam puluh tahun ke hadapan, tetapi sampai ke alam akhirat.  Ini jelas seperti cerita Luqman al-Hakeem di dalam Al-Quran.
    Falsafah Islam cuba maencari hakikat manusia dan alam semesta ini.  Setelah berusaha mencari dan berfikir berdasarkan wahyu, maka dapat dirumuskan bahawa manusia dijadikan oleh Allah untuk hidup di alam ini sebagai hamba dan khalifah, kemudian mereka akan mati dan akan dipersoalkan tentang tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh Allah.  Ini adalah berdasarkan kepada ayat-ayat 55 surah Az-Zariyat, 30 Al-Baqarah, 72 Al-Ahzab, 172 Al-A`raf dan lain-lain.
    Falsafah Pendidikan Islam pula ialah falsafah pendidikan yang berteraskan ruh Ialam, iaitu falsafah Islam untuk pendidikan, dan ia disebut Falsafah Pendidikan Islam (Al-Syaibany, 1991).  Jadi, maksud daripada Falsafah Pendidikan Islam ialah menyediakan manusia dengan dan ilmu pengetahaun yang cukup agar ia kenal dirinya serta tugas dan tanggungjawabnya, serta mengetahui cara untuk menjalankan atau melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba dan khalifah Allah.  Bila ia dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab ini dengan baik maka jadilah ia insan yang saleh.  
    Ahli falsafah pendidikan Islam atau failasuf pendidikan Islam ialah orang yang berusaha berfikir mencari apakah perkara-perkara yang perlu dimasuklah ke dalam kurikulum pendidikan.  Ini termasuklah ilmu, kemahiran, nilai, pengalaman dan sebagainya, yang mana setelah menjalani pendidikan beberapa lama akan lahir seorang insan yang kenal dirinya, kenal Tuhannya, faham tujuan Allah jadikan segala yang ada, mengetahui hukum-hukum Allah dan mengamalkannya, bertamadun, pandai berkawan sama ada dengan orang Islam atau pun bukan Islam.   Antara perkara yang penting yang difokuskan oleh falsafah pendidikan Islam ialah:
    Pendidikan Aqidah, Pendidikan Ibadah, Pendidikan Akhlak, Pendidikan Akal, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Rohani, Pendidikan Keterampilan, Pendidikan Keibubapaan, Pendidikan Kemasyarakatan, Pendidikan Kepimpinan, dan banyak lagi.
    Jadi, berdasarkan falsafah Islam, semua perkara yang disebutkan diatas itu perlu ada dan menjadi tajuk-tajuk penting dalam kurikulum pendidikan Islam.  Dengan demikian, barulah dapat melahirkan insan soleh yang mampu melaksanakan tugasnya sebagai hamba dan khalifah Allah dengan betul dan sempurna seperti yang dibincang dalam Matlamat Pendidikan Islam.  Penyataan Falsalah Pendidikan Islam yang digubalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, nampaknya ada unsur untuk menuju ke arah ini.


KONSEP PENDIDIKAN ISLAM

Pendidikan Islam bermaksud memberi pendidikan kepada anak-anak atau murid-murid/pelajar berdasarkan ajaran Islam.  Mendidik juga bermaksud mengasuh, menjaga dan membelai supaya seseorang anak itu menjadi baik.  Baik di sini tentulah baik pada pandangan Islam.  Ilmu pengetahuan yang diberi itu ialah suatu wadah dalam pendidikan.  Justeru ilmu belum tentu mendidik, dan memberi ilmu juga belum tentu  lagi memberi pendidikan.
    Mendidik ialah kata-kata nasihat supaya murid melakukan sesuatu yang baik.  Menasihati murid supaya melakukan suruhan Tuhan seperti solat, beradab dengan ibu bapa dan guru adalah pendidikan.  Menasihati murid supaya belajar dengan baik dan tekun adalah pendidikan.  Menjaga kebersihan diri, bilik darjah, kawasan sekolah, kantin, padang adalah tuntutan Islam. Kekemasan diri, bilik darjah, kawasan rumah,   juga tuntutan Islam.  Menasihati pelajar atau murid melakukan semua ini ialah pendidikan Islam namanya.
     Berdasarkan kepada takrifan ini bermakna, tugas pendidikan Islam  bukan terletak kepada ibu bapa dan guru agama sahaja, malah kepada semua orang Islam.  Kalau di rumah, ibu bapa dan keluarga itu yang bertanggungjawab memberi pendidikan Islam.  Manakala di sekolah pula, semua guru yang beragama Islam adalah bertanggungjawab memberi pendidikan Islam kepada semua murid Islam.  Guru agama atau istilah sekarang guru Pendidikan Islam, lebih luas tanggungjawabnya; pertama menyampaikan pengetahuan Islam dan kemudian mendidik dengan pendidikan Islam.  Masyarakat pula bertanggungjawab untuk menghidupkan budaya Islam di dalam masyarakat.   Ini termasuklah percakapan, pergaulan, permainan, urusan harian dalam hal ekonomi, politik, sosial, teknikal dan sebagainya.
    Kalau di sekolah guru mengajar supaya pelajar melakukan sesuatu yang baik atau sesuatu suruhan Tuhan, seperti solat, tutup aurat dan sebagainya, manakala dirumah ibu bapa tidak menunaikan solat dan tidak menutup aurat menurut kehendak Islam, bermakna ibu bapa tidak mendidik anaknya dengan pendidikan Islam dalam aspek tersebut.  Sama juga  dengan  sekolah.  Jika guru Pendidikan Islam mengajar dan mendidik pelajarnya dengan perkara-perkara yang dituntut oleh Islam seperti di atas, tetapi guru lain tidak melakukannya, bermakna guru Islam tidak mendidik pelajarnya yang beragama Islam supaya menghayati ajaran Islam.  Ini bermakna, guru tersebut tidak mendidik pelajarnya dengan pendidikan Islam. 
    Demikian jugalah dengan masyarakat.  Jika masyarakat tidak membanteras segala perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam yang wujud dalam masyarakat tersebut, sebaliknya menganjurkannya pula, bermakna masyarakat tersebut tidak mendidik anak buahnya dengan pendidikan Islam, malah sebaliknya meruntuhkan Islam.  Kalau inilah yang berlaku, pendidikan Islam yang dilakukan oleh guru Agama dalam bilik kelas itu tidak akan berkesan.  Dengan demikian, jika berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam masyarakat, seperti keruntuhan akhlak dan sebagainya, maka jangan disalahkan orang lain.  Kerana itu yang dikehendakai oleh ibu bapa, guru dan masyarakat. Setiap orang akan menegakkan benang basahnya dengan mengatakan ia betul dan orang lain yang salah seperti cerita bangau oh bangau, tetapi kita lupa, bahawa setiap orang akan menjawabnya di hadapan Tuhan.
    Malah, dalam pengajaran Pendidikan Islam itu sendiri, jika guru tidak hati-hati, guru hanya menyampaikan maklumat atau pengetahuan Islam sahaja, guru berkenaan tidak mendidik dengan pendidikan Islam.  Misalnya, guru Pendidikan Islam atau guru agama mengajar pelajarnya dengan tajuk Syarat Wajib Jumaat.  Di akhir pelajaran pelajarnya dapat menyebut syarat-syarat tersebut, maka ini baru tercapai objektif pelajaran.  Guru tersebut, sebenarnya belum lagi mendidik pelajarnya dengan pendidikan Islam.  Pendidikan itu ialah kata-kata nasihat supaya pelajar menghayati ajaran Islam. 
    Kalau dalam tajuk ini, guru hendaklah menasihati pelajarnya (lelaki) supaya menunaikan solat Jumaat.  Lebih baik lagi, guru mengiringi pelajar ke masjid.  Dan sebelum ke masjid,  guru patut juga mendidik pelajarnya.  Iaitu menasihatkan pelajar supaya jangan bising di masjid.  Duduk dengan tertib di dalam masjid dan membaca apa-apa zikir yang baik, seperti membaca al-Quran atau selawat ke atas nabi.  Jika ini berlaku, maka barulah dikatakan mendidik dengan pendidikan Islam.  Demikianlah seterusnya dalam tajuk-tajuk yang lain, atau pun pelajaran-pelajaran yang lain yang bukan mata pelajaran agama.  Bagi guru yang kreatif, ia boleh memasukkan pendidikan Islam melalui pelajarannya.
    Ini bermakna, bahawa pendidikan Islam itu mempunyai dua maksud.  Pertama bermaksud pendidikan Islam khusus. Iaitu yang merangkumi pelajaran tradisional seperti aqidah, ibadah, tafsir, sejarah, hadis dan sebagainya.  Kedua ialah pendidikan Islam umum, yang mana ia merangkumi semua kata-kata nasihat yang boleh membangunkan potensi yang ada pada setiap pelajar melalui semua mata pelajaran sekolah serta melewati segala aspek hidup.  Inilah yang dikatakan pendidikan Islam.



PERSEDIAAN AWAL SEBELUM MENGAJAR

Ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian sebelum memulakan pengajaran.  Antaranya ialah:
1.  Mengenal diri
Apabila kita menceburkan diri di dalam bidang perguruan, kita harus sedar siapa kita.  Kita sebagai seorang guru dan dalam kategori mana.  Dalam bahasa Arab, guru boleh diterjemahkan dengan berbagai istilah, seperti mudarris, mu`allim, murabbi, muaddib, dai`e, raais, nasih dan lain-lain
Mudarris bermaksud guru yang mengajar dan menyampaikan maklumat kepada orang lain.  Guru ini  boleh jadi orang Islam dan bukan Islam.  Kalau dia orang Islam, boleh jadi yang taat atau yang tidak taat.  Perkara yang diajar boleh jadi yang baik atau pun tidak baik.  Yang mengajar ilmu sihir pun mudarris, demikian juga yang mengajar ilmu salah atau ajaran sesat.  Semua mereka ini termasuk dalam kategori mudarris
Mu`allim ialah guru yang mengajar ilmu yang benar.  Surah al-Baqarah ayat 31 menerangkan penggunaan kalimah mu`allim yang membawa makna mengajar perkara yang benar.
Murabbi pula bermaksud mendidik.  Iaitu mendik dengan perasaan kasih dan sayang.  Walau pun perkataan ini digunakan juga untuk perkara lain, seperti memellihara binatang dan pokok, tetapi apabila dipakai kepada manusia ia bermaksud mendidik anak-anak didik dengan penuh perasaan kasih sayang.  Pemakaian ini disentuh di dalam surah al-Isra ayat 24, di mana Allah mengajar manusia supaya berdoa kepada Allah agar Allah mengasihi ibu bapa kita seperti mana mereka mendidik dan mengasihi kita semasa kita kecil dahulu. Dalam istilah ini terangkum juga di dalamnya menasihat dan membimbing.
Muaddib bermaksud mengajar adab.  Apa yang diajarkan kepada murid atau anak-anak, sama ada bentuknya ilmu, kisah, permaianan, maka semuanya itu menjurus kepada mendidik anak-anak supaya beradab.  Ilmu itu ialah adab, menuntut ilmu juga ialah adab, semasa menunutut ilmu kita perlu beradab, tanpa beradab ilmu menjadi tidak berkat.  Dengan itu, sebelum mengajar pengetahuan berkaitan, ajar dahulu cara-cara dan adab-adab belajar.
Dai`e bermakana orang yang mengajak orang lain berbuat kabajikan.  Ini maknanya guru bukan sahaja menyampaikan pelajaran, tetapi mengajar dan mengajak muridnya melakukan kebajikan dan meninggalkan kejahatan.  Dengan itu guru haruslah terdiri daripada orang yang melakukan kebajikan.
Raais bermaksud ketua atau pemimpin.  Di dalam sekolah guru adalah ketua.  Apa sahaja kata guru akan diikut oleh murid.  Ketua yang berwibawa haruslah mempunyai beberapa kriteria supaya sesuai dengan tugasnya sebagai guru dan ketua. Antaranya, ilmu, perwatakan, ketokohan, kewibawaan, akhlak, sikap dan penghayatan Islam.
Nasih dari segi bahasa ialah penasihat atau orang yang memberi nasihat.   Maksudnya di sini ialah kaunselor.  Jadi guru haruslah menyediakan masa untuk mendengar masalah murid dan seteruskan memberi cadangan, bimbingan dan nasihat.  Ia tidak terhad kepada hal-hal pelajaran sahaja, malah ia boleh juga mengenai hal-hal sikap, tujuan hidup, kerjaya dan sebagainya.
Sekarang, cuba renungkan.  Kita berada dalam ketegori mana?  Sepatutnya bukan satu.  Semua nilai-nilai itu ada pada setiap orang guru.  Dengan itu barulah pengajarannya memberi kesan yang baik,  bukan sahaja dalam aspek kognitif, malah dalam psikomor,  affektif dan perasaan.
2.  Menguasai Ilmu
Dalam hal ini ilmu boleh dibahagikan kepada 3 jenis, iaitu Ilmu bidang, Ilmu Fardhu Ain dan Ilmu alat.
Ilmu Bidang ialah ilmu yang kita dianggap  pakar dalam bidang berkenaan dan itulah ilmu yang kita ajarkan kepada orang lain.  Dinisbahkan kepada guru Agama, maka ilmu agama lah bidang kita.  Justeru guru agma mesti dalam pengetahuannya tentang agama serta permasalahannya dan mantap kefahamannya.  Jika guru sains, maka pengetahuan sainsnya mesti baik.  Demikianlah dengan pelajaran lain.  Sekirannya guru tidak menguasai bidangnya sendiri, ia  tidak dapat menyampaikan pengajarannya dengan baik dan berkesan serta tidak dapat menjawab persoalan yang dikemukan oleh murid kepadanya.
Ilmu Fardhu Ain bukan berksud hukum-hukum bersuci, solat, puasa, zakat dan haji.  Ini ialah Asas Fardhu Ain.  Fardhu Ain di sini bermksud ilmu tentang tanggungjawab setiap orang Islam, termasuk mengetahui haram halal dan sebagainya.  Seorang peniaga harus mengetahui apa perkara yang boleh diperniagakan dan apa yang dilarang oleh Islam.  Sebagai pegawai apa yang perlu ia lakukan terhadap pejabatnya dan orang yang di bawahnya.  Guru pun demikian juga.  Adakah mengajar sahaja atau ada kerja-kerja lain yang perlu dilakukan.  Jika tidak dilakukan seperti yang ditetapkan apa akibatnya.  Ini semua memerlukan ilmu agama khasnya yang bekaitan dengan amanah dan tanggungjawab.
Ilmu Alat  pula bermaksud ilmu yang perlu bagi menjalankan tugas dengan lebih sempurna.  Ini juga berdasarkan kepada bidang masing-masing.  Kerani misalnya memerlukan kemahiran menaip, simpan kira dan lain-lain.  Guru memerlukan ilmu yang berkaitan dengan pengajaran, iaitu psikologi, pedagogi, sosiologi, prinsip-prinsip pengajaran, perkaedahan, penilaian, kepimpinan, bahasa dan lain-lain.
3. Mengenal murid. Ini termasuklah mengenal nama murid dan anak siapa.  Adakah murid ini bermasalah sama ada dari segi kesihatan perangai dan lain-lain.   Mengetahui tahap umurnya, mengenal ibu bapa, sosioekonomi, dan tujuan murid itu dihantar ke sekolah. Adakah untuk belajar atau memenuhkan masa, atau untuk mendapat sesuatu sahaja, bukan semua pelajaran yang ditetapkan dan sebagainya.
4.  Mempunyai kepakaran pengurusan bilik darjah.  Di dalam bilik darjah terdapat murid-murid dan benda-benda lain seperti kerusi, meja, papan tulis gambar dan lain-lain.  Guru perlu tahu bagaiman hendak mengurus segala kelengkapan bilik darjah supaya sesuai dengan mata pelajaran yang diajar dan nampak ceria dan kondusif.  Bagaiman hendak mengawal kelas supaya pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan baik dan berkesan.  Ini termasuklah kedudukan murid di dalam kelas.  Yang kecil, yang besar, yang degil, yang lemah, yang kurang pendengaran, yang kurang pengelihatan, dan lain-lain.
5.  Menguasai kemahiran starategi pengajaran.  Strategi pengajaran ada dua, iaitu Strategi Profesional dan Strategi Kasih Sayang.  Strategi profesionl termasuklah merancang, memilih tajuk, menyusun fakta, menyusun langkah-langkah pengajaran, pembinaan soalan dan sebagainya.  Manakala strategi kasih sayang ialah pendekatan sebagai ibu atau bapa kepada anak-anak.  Menolong, menasihat, bermesra dengan menggunakan bahasa isyarat dan body language setakat yang dibenarkan.




KAEDAH PENGAJARAN

Ada dua perkataan yang hampir-hampir sama maksudnya dengan kaedah dan ia memang tergolong dalam kaedah juga, iaituteknik dan pendekatan.  Mok Soon Seng (1992) mengatakan pendekatan ialah cara mendekati sesuatu mata pelajaran.  Iaitu cara bagaimana suatu mata pelajaran diajar berdasarkan objektifnya.  Jadi ia merupakan satu set teori yang sistematik. Kaedah pula ialah satu siri tindakan yang sistematik dengan tujuan mecapai objektif pelajaran dalam jangka masa pendek.  Kaedah mengajar ialah cara mendekati sesuatu objektif pelajaran dengan langkah penyampaian yang tersusun (Mok Soon Seng 1992).  Manakala teknik pula ialah kemahiran guru dalam pengelolan dan pelaksanaan  kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran.  Mengikut Azman Wan Chik (1987) teknik itu apa yang dilihat dalam bilik darjah.  Kalau guru mengajar bahasa dengan menggunakan alat-alat komunikasi canggih dalam makmal bahasa, maka itu satu teknik.  Sekiranya seorang guru Pendidikan Islam mengajar pelajar menghafaz Al-Qur`an dengan mendengar bacaan dalam pita kaset, maka ini dikatakan teknik.
            Sharifah Alwiah Alsagoff (1986) mengatakan bahawa kaedah mengajar ialah peredaran ke arah satu tujuan pengajaran yang telah dirancangkan dengan teratur.  Hasan Langgulung (1981) pula mengatakan bahawa kaedah itu sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan.  Jadi, apa saja cara yang guru lakukan untuk memberi faham kepada pelajar bagi mencapai objektif pengajaran, maka itu adalah kaedah.  Melihat kepada misal-misal yang diutarakan oleh Sharifah Alwiah Alsagoff (1986), Mok Soon Seng (1992), Rashidi Azizan & Abdul Razak Habib (1995), Atan Long (1980) dan Mahfudh Salahuddin (1987),  nampaknya yang dikatakan kaedah itu ialah yang ada nama, seperti kaedah kuliah, demonstrasi, Socrates, simulasi, inquiri penemuan, Forebel dan sebagainya.
            Abu Saleh (1988) mengatakan bahawa kaedah itu ialah satu aktiviti pengajaran yang mengandungi langkah-langkah yang tersusun dan dalam tiap-tiap langkah itu pula mempunyai kemahiran dan latihan yang terancang.  Padanya, kaedah mengajar bukanlah tujuan utama pengajaran, tetapi ia merupakan wasilah, iaitu satu jalan untuk mencapai obektif pengajaran.
            Demikian juga dengan Hasan Langgulung  (1981) mengatakan bahawa kaedah itu sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan.  Jadi apa sahaja cara tiandakan dan aktiviti yang dilakukan oleh guru untuk memberi faham kepada pelajar bagi mencapai objektif pengajaran maka itu   adalah kaedah, walau pun ia tidak mempunyai nama-nama khas, seperti yang dibawa oleh Sharifah Alwiah, Atan Long (1981) dan lain-lain. 
            Berdasarkan kepada ini bermakna tidak ada satu kaedah yang terbaik untuk semua mata pelajaran bagi semua   pelajar  dalam semua keadaan.  Kaedah harus berubah  mengikut keadaan masa, tempat dan pelajar.  Dengan demikian, guru harus pandai memilih kaedah yang baik, yang sesuai dengan keadaan masa, tempat dan pelajar.  
            Al-Kailany (1986) menyenarai sedikit panduan kepada guru sebelum mengaplikasi sesuatu kaedah pengajaran, antaranya ialah:
          1.  kaedah mestilah secucuk dengan tujuan dan matlamat pelajaran
2.  kaedah mesti sejajar dengan objektif pelajaran yang
               hendak dicapai
3.  kaedah juga haruslah sesuai dang tabiat (nature) pelajaran
               yang diajar
4.  kaedah mesti sepadan atau setara dengan umur pelajar
5.  kaedah itu mestilah yang boleh atau mampu diaplikasi oleh guru
6.  mempunyai masa yang cukup untuk mengaplikasikan kaedah
               bekenaan
7.  kaedah yang dipilih mestilah sesuai dengan kemudahan yang
               ada.
         An-Nashmy (1980) mencadangkan supaya guru memilih kaedah yang boleh memberi kesan yang mendalam bukan sahaja kepada kefahaman pelajar  yang diajar, malah yang memberi kesan kepada jiwa dan menyentuh perasaan pelajar.  Dengan cara ini pelajar akan memberi tumpuan yang padu dan dapat mengingati pelajaran dengan lebih cepat dan bertahan lebih lama.  Untuk mencapai hasrat ini guru haruslah pandai memilih pendekatan yang sesuai dan teknik yang menarik dan ditambah pula dengan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang canggih dan menarik.
            Kaedah pengajaran yang baik ialah yang mempunyai langkah-langkah dan strategi yang tersusun serta objektif yang tepat dan boleh dicapai.  Di samping itu, matlamat yang hendak dituju juga mestilah terang dan jelas.  Strategi pengajaran ialah satu yang sangat penting dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran.  Congelosi (1992) mencadangkan bahawa setiap pengajaran harus terlebih dahulu disediakan rancangannya dan dalam rancangan pengajaran ini harus mempunyai perkara-perkara berikut, iaitu:
          1.  Tujuan am (learning goal)
2.  Objektif pelajar (specific objective)
3.  Langkah-langkah pengajaran yang mengandungi aktiviti-aktivit
               tertentu untuk menolong pelajar mencapai objektif pelajaran
          4.  Perlu ada makanisma untuk memantau kemajuan pelajar

          5.  Penilaian (sumative evaluation) untuk mengukur
               pencapaian pelajar

Kata Cangelosi (1992):
Learning goal is the overall purpose of the teaching unit.  It indicates what students are expected to learn.
Specific objective, define the learning goal.  That is a number of specific skills, abilities, and/or attitude that the student to/or must acquire. (ms. 24)
            Perrott (1986) menerangkan semua aktiviti itu dalam tiga istilah yang lebih mendasar, iaitu:
           Planning
           Implementation
           Evaluation

           Tiga perkara ini dan juga langkah-langkah yang dikemukakan sebelum ini merupakan asas pengajaran yang berkesan, di sampiang pengetahuan yang patut ada pada guru.  Langkah-langkah ini disusun demikian rupa untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran sesuatu yang menarik dan berkesan.  Ini yang dikatakan pengajaran yang berkesan (effective teaching).  Pengajaran dan pembelajaran yang baik, menarik dan berkesan tidak dapat diwujudkan jika tidak memenuhi kriteria tertentu seperti yang dibincangkan di atas.  Guru yang mampu menjalankan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan ini ialah guru yang didikasi, mempunyai wawasan yang jelas dan mengajar dengan penuh semangat untuk mencapai objektif yang terancang dengan langkah-langkah yang tersusun dengan menggunakan BBM yang menarik dan dengan pergerakannya yang cukup lincah.  Inilah dia guru yang efektif (effective teacher).
             “…effective teacher is one who is able to demonstrate the
             ability to bring about intended learning goals”.  
Parrott (1986:5)

             Oleh itu, guru haruslah merancang dengan cukup rapi sebelum memasuki kelas.  Ini termasuklah strategi pengajaran yang merangkumi isi kandungan, objektif yang hendak dicapai, pendekatan, kaedah dan teknik penyampaian, BBM yang sesuai dan penilaian yang akan dijalankan. Satu yang perlu diingatkan ialah tentang  pendidikan Islam atau penerapan nilai Islam.  Ini juga harus dirancang dengan saksama.  Iaitu  apa yang hendak dipesan kepada pelajar, apa nasihat yang akan diberi, apa nilai yang hendak ditonjokan supaya pelajar ikut dan contohi dan sebagainya.  Guru harus sedar bahawa mata pelajaran Pendidikan Islam bukan sahaja untuk lulus peperiksaan, tetapi untuk menjadi seorang Islam yang beramal dengan ajaran Islam dengan cara yang betul. 
Jadi, penekanannnya ialah penghayatan Islam, bukannya peperiksaan.  Kalau guru mengajar terlalu terikat dengan orientasi peperiksaan, guru hanya berjaya menyampaikan ilmu Islam, tetapi gagal memberi pendidikan Islam, iaitu gagal mendidik anak-anak untuk menjadi orang Islam bagi memikul tugasnya sebagai hamba dan khalifah Allah.
Demikian juga dengan istilah guru berkesan (effective teacher).  Ia bukan sahaja memberi kesan dalam bidang pelajaran yang diajar, mudah faham dan diminati oleh pelajar, tetapi yang boleh menjadi contoh kepada pelajar dari segala aspek personaliti, kerana personaliti guru mempengaruhi sikap pelajar (Huitt, 1994).  Ini termasuklah gaya bercakap, kekemasan berpakaian, penghayatan nilai Islam, penjagaan masa pengajaran (engagement time), ketepatan masa dalam setiap perjanjian, keadilan dalam layanan dan sebagainya.  Ini semua mencerminkan guru muslim (Al-Ghazali, 1988; Al-Ibrashy, 1976).






TEKNIK PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
  DEFINISI
  • Menurut Kamus Dewan (edisi ketiga), teknik adalah kaedah mencipta sesuatu hasil seni seperti muzik, karang-mengarang dan sebagainya.
  • Menurut Edward M. Anthony mendefinisikan teknik adalah satu muslihat atau strategi atau taktik yang digunakan oleh guru yang mencapai hasl segera yang maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian bahasa tertentu.
  • Mengikut Kamaruddin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz dalam bukunya Pengajian Melayu III : Komunikasi Bahasa, teknik boleh didefinisikan sebagai pengendalian suatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjah di mana ia digunakan untuk mencapai sesuatu objektif.
  • Teknik merupakan suatu alat yang digunakan oleh guru bahasa bagi menyampaikan bahan-bahan pengajaran yang telah dipilih untuk pelajar-pelajarnya. Teknik yang dipilih haruslah sejajar dengan kaedah yang digunakan dan seirama dengan pendekatan yang dianuti.
 Teknik-teknik Pengajaran Bahasa
  1. Teknik main peranan
  2. Teknik permainan bahasa
  3. Teknik latih tubi
  4. Teknik bercerita
  5. Teknik inkuiri
  6. Teknik perbahasan
  7. Teknik kuiz
  8. Teknik sumbangsaran
  9. Teknik soal jawab
  10. Teknik simulasi
  11. Teknik drama
  12. Teknik perbincangan
  13. Teknik forum
  14. Teknik dialog
 TUJUAN TEKNIK
    1. Menarik Minat murid
    2. Mengekalkan perhatian
    3. Membangkitkan ras ingin tahu
 TEKNIK LATIH - TUBI
  • Teknik latih tubu adalah aktiviti pengulangan fakta-fakta atau kecekapan yang dipelajari.
  • Tujuannya untuk mencapai taraf penguasaan kemahiran disampimg menjamin kekekalannya.
  • Ia sesuai digunakan untuk pengajaran Bahasa Melayu
  • Boleh digunakan untuk mencapai sesuatu kemahiran seperti kemahiran menyebut perkataan, ayat-ayat atau mengingat fakta-fakta penting.
  • Melalui teknik ini pelajar akan mengalami proses mendengar, melihat, memikirkan maksud perkataan-perkataan serta tugasnya dalam situasi yang penggunaan perkataan-perkataan itu.
  • Berasakan pengajaran bahasa dengar dan sebut (audiolingual) yang biasanya digunakan dalam pengajaran bahasa kedua.
  • Mengikut teknik ini, perhatian akan diberikan kepada 5 aspek kebolehan menggunakan bahasa iaitu :
  1. Sebutan (accent)
  2. -menyebut patah-patah perkataan atau sukukata dengan betul termasuk intonasi yang membawa makna dalam sesuatu situasi.
  3. Tatabahasa (grammer)
  4. -penggunaan bahasa yang tepat mengikut hukum-hukum bahasa daripada semua aspek.
  5. Perbendaharaan kata (vocabulary)
  6. -meluaskannya dengan penggunaan imbuhan yang sesuai mengikut konteksnya dalam situasi tertentu.
  7. Kefasihan (fluency)
  8. -menggunakan perkataan dan lain-lain dengan cara spontan tanpa memikirkan apakah maksudnya.
  9. Kefahaman (comprehension)




-latihan memahami soalan dan memberikan jawapan yang wajar.
  • Teknik ini dikenali juga dengan teknik menghafaz.
  • Antara kelemahan tekni ini ialah ia menghadkan kebebasan berfikir dan menumpukan daya kreativiti murid.
  • Namun begitu, teknik ini amat berguna dan sesuai untuk isi kandungan pengajaran yang memerlukan ikutan dan ulangan.
 TEKNIK SIMULASI
  • Simulasi ditakrifkan sebagai satu situasi yang diwujudkan hampir menyerupai keadaan sebenar yang memerlukan pelajar berinteraksi sesama sendiri berdasarkan peranan masing-masing bagi membuat keputusan menyelesaikan masalah, isu atau tugasan semula.
  • Melalui teknik ini para pelajar dapat menggunakan kemahiran belajar seperti mengumpulkan maklumat, menjalankan temuramah dengan individu tertentu dan mencatat isi-isi penting.
  • Dalam proses ini pelajar digalakan untuk memberi pendapat, cadangan, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah berdasarkan peranan yang dipertanggungjawabkan. Memberi peluang kepada pelajar mengalami sendiri situasi dan masalah.
  • Melalui teknik ini pelbagai kemahiran dapat digabungjalinkan dan dipertingkatkan terutamanya dalam kemahiran lisan membaca dan menulis.
  • Dapat menwujudkan pelabagi aktiviti menarik yang menjadi sumber motivasi kepada pelajar untuk meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran.
 TEKNIK MAIN PERANAN
  • Main peranan bermaksud melakonkan sesuatu situasi atau masalah atau peristiwa yang dianggap penting.
  • Pelajar diberi peranan dan bertindak sebagai watak-watak yang ditentukan dalam satu situasi yang disediakan.
  • Main peranan ialah dramatisasi yang tiada kaitan atau penghafalan skrip, dimana pelakon-pelakon cuba menyelesaikan atau menjelaskan situasi kepada kepada pelajar-pelajar lain supaya mempraktikan kepada diri mereka berdasarkan peranan yang dimainkan secara spontan.
  • Proses ini biasanya dimulakan dengan pemikiran masalah yang sesuai. Masalah ini dikemukakan kepada pelajar dengan cara membacakannya atau memperlihatkannya melalui filem, televisyen, mendengar rakaman dan sebagainya.
 TEKNIK SUMBANGSARAN
  • Teknik ini dikenali juga sebagai percambahan fikiran (brainstorming) yang merupakan satu sesi perbincangan yang membolehkan setiap ahli kumpulan menyumbangkan pendapat dan idea.
  • Boleh didekati sebagai aktiviti permainan bahasa pada peringkat sekolah rendah dan berkembang menjadi aktiviti perbincangan yang lebh serius dan kompleks pada peringkat sekolah menengah, universiti dan latihan profesional.
  • Menekankan pengeluaran idea daripada pembelajaran yang kretif dan bukan pembelajaran secara analitis.
 Tujuan Sumbangsaran
  • Topik perbincangan sesuai dengan kebolehan dan minat murid
  • Garis panduan guru haruslah ringkas dan jelas
  • Semua cadangan dan idea yang dikemukakan haruslah dicatat untuk dibincangkan dalam sesi umum.
  • Setiap kumpulan mestilah memilih pengerusi yang betul-betul layak
  • Setiap ahli diberi peluang untuk mengemukakan cadangan
  • Pelajar digalakkan menyumbang seberapa banyak idea
  • Suasana perbincangan yang tidak formal hemdaklah diwujudkan.
  • Pastikan peruntukan masa untuk sesi sumbangsaran adalah patut dan mencukupi
  • Digalakkan menggunakan prinsip 5W ( What? Why? Who? Where? How? )
  • Cadangan dan idea yang dikemukakan tidak boleh dikritik
  • Setiap kumpulan dimestikan mempunyai ahli-ahli yang pelbagai kebolehan

TEKNIK PERMAINAN BAHASA
  • Permainan bahasa adalah salah satu cara dalam mempelajari bahasa melalui teknik permainan.
  • Penglibatan dalam permainan telah memberi peluang kepada pelajar memperolehi latihan intensif, pembelajaran bermakna dan sebagai alat dianogstik.
  • Kebanyakan aktiviti yang dijalankan akan menggunakan pelbagai kemahiran berbahasa pelajar antaranya kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis.
  • Permainan bahasa mempunyai hala tuju yang bertepatan dengan kemahuan dalam sistem pendidikan negara amnya dan Falsafah Pendidikan Negara khususnya. Hala tuju ini diinterapetasikan melalui objektif tersirat dalam permainan bahasa tersebut iaitu :
  • merangsang interaksi verbal pelajar
  • menambah kefasihan dan keyakinan
  • menyediakan konteks pembelajaran
  • bertindak sebagai alat yang dapat mengikis rasa bosan
  • bertindak sebagai alat pemulihan, pengukuhan dan penggayaan

TEKNIK SOAL – JAWAB
  • Merupakan teknik yang paling lama dan paling popular digunakan dalam bidang pendidikan
  • Pemilihan teknik ini bukan kerana ia mudah dilaksanakan, tetapi ia adalah bentuk yang berupaya mewujudkan interaksi guru dengan murid secara berkesan.
  • Teknik ini dilaksanakan dengan cara guru mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan isi pelajaran dan pelajar dikehendaki memberi tindakbalas yang sewajarnya.
  • Soalan-soalan yang dikemukan memerlukan pelajar berfikir disamping dapat menguji dan menilai apa yang diajar.
  • Tujuan utama teknik soal jawab ialah :
  1. Untuk mengesan pengetahuan berbahasa murid
  2. Untuk menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif, inovatif, logik dan kritis.
  3. Untuk mendorong pelajar menyusun dan menghuraikan bahan yang diajar.
  • Soalan yang terancang dan bermutu dapat membantu menajamkan pemikiran pelajar di samping dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih dinamik dan berkesan.
 TEKNIK BERCERITA
  • Merupakan salah satu pendekatan yang sesuai digunakan untuk membina kecekapan berbahasa kerana cerita merupakan sesuatu yang dapat menarik minat dan perhatian pelajar.
  • Latihan pemahaman, perluasan perbendaharaan kata dan tatabahasa dapat disampaikan.
  • Dapat meningkatkan penguasaan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis dikalangan pelajar.
  • Perkembangan cerita hendaklah diberi perhatian agar ada peringkat permulaan, kemuncak dan kesudahan cerita. Perhatian perlu diberi kepada teknik persembahan, suara, gerak laku dan kawalan mata.
  • Suara memainkan peranan yang penting dimana ia harus dikawal supaya jangan mendatar dan tidak menimbulkan kebosanan.
  • Langkah-langkah dalam persediaan teknik bercerita ialah :
  • Pilih cerita yang sesuai dengan umur, kecerdasan dan minat murid-murid. Kemudian, sesuaikan pula dengan isi pelajaran yang hendak disampaikan.
  • Kaji cerita itu dan cuba masukkan aspek-aspek bahasa.
  • Hafazkan frasa atau ayat-ayat penting.
  • Latih bercerita seolah-olah guru berada dihadapan murid-murid sekurang-kurangnya sekali sebelum menggunakan teknik ini.
  • Guru bercerita dalam keadaan yang selesa.
  • Guru boleh menggunakan gambar, objek-objek sebenar atau lain-lain BBM.
  • Sediakan kad-kad perkataan, frasa-frasa atau ayat-ayat yang berkaitan dengan aspek-aspek bahasa yang hendak disampaikan.
 TEKNIK DRAMA
  • Sering digunakan dalam kaedah komunikatif dan kaedah yang berasaskan pendekatan induktif iaitu kaedah terus, elektif dan audiolingual.
  • Tujuan utama adalah untuk melatih pelajar menggunakan unsur bahasa, unsur paralinguistik (jeda, nada dan intonasi) dan bukan linguistik (mimik muka, gerak tangan, kepala dan dll) dengan berkesan dalam sesuatu interaksi bahasa atau perbuatan.
  • Penggunaannya dapat mendorong dan merangsang pelajar untuk menghubungkan perasaannya dengan matapelajaran yang dipelajarinya.
  • Pelajar bebas meluahkan sesuatu, membuat penemuan, memberi dan berkongsi sesuatu.
  • Drama berperanan sebagai ragam pembelajaran iaitu sebagai salah satu alat bantu pengajaran dan pembelajaran.
  • Dapat menimbulkan keseronokan dan keberkesanan pembelajaran kepada pelajar, disamping dapat menyuburkan sahsiah pelajar.
 TEKNIK INKUIRI
  • Teknik ini dikenali sebagai teknik tinjau siasat.
  • Merangkumi aspek-aspek soal selidik untuk mendapatkan jawapan atau kesimpulan yang berorientasikan masalah.
  • Dapat menimbulkan daya refleksi dikalangan pelajar.
  • Merupakan satu kaedah pengajaran bahasa yang dinamik untuk menimbulkan minat dan daya kreativiti di kalangan pelajar kerana pelajar sering mengemukakan soalan ‘bagaimana’. Oleh itu, ia dapat melatih pelajar mengemukakan pelbagai soalan.
  • Ciri lain yang terdapat dalam teknik ini termasuklah memberi latihan yang sebenar dalam proses kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis.
  • Pengendalian teknik inkuiri ialah :
    1. Proses mengenali masalah
    2. Mengkaji ramalan
    3. Mengumpul maklumat
    4. Menganalisis
    5. Membuat rumusa
 TEKNIK PERBINCANGAN
  1. Teknik perbincangan didefinisikan sebagai satu aktiviti mengeluar dan mengulas pendapat tentang sesuatu tajuk. Tujuannya untuk melatih pelajar mengeluarkan fikiran dan pendapat dengan bernas (Kementerian Pendidikan 1990:85).
  2. Teknik perbincangan adalah satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran berbentuk perbualan dan ia dilakukan dikalangan pelajar dibawah penyeliaan dan kawalan seorang guru.
  3. Melibatkan aktiviti perbincangan antara pelajar secara bekerjasama dalam mengeluarkan pandangan masing-masing mengenai sesuatu perkara atau topik yang diberi. Misalnya bermesyuarat, forum, seminar, bengkel, bahas dan debat.
  4. Dalam perbincangan ini akan memberi peluang dan ruang bagi mereka untuk bercakap terutama dalam aktiviti separa formal. Latihan sebegini bukan sahaja sekadar mempertajamkan minda malah dapat melatih kepetahan pelajar untuk bercakap dan mengeluarkan pendapat.
  5. Peranan guru akan berubah-ubah kerana aktiviti ini dikendalikan oleh pelajar sendiri.
  6. Teknik perbincangan boleh dijalankan mengikut langkah-langkah berikut :
  7. Guru menarik perhatian murid kepada tajuk perbincangan yang akan dijalankan.
  8. Guru membahagikan murid kepada beberapa kumpulan dan kemudian memilih seorang ketua yang boleh dipertanggungjawabkan untuk memastikan semua aspek perbincangan dapat dijalankan dan dicapai.
  9. Guru kemudian menugaskan setiap kumpulan mendapatkan maklumat dengan cara berbincang dengan ahli-ahli kumpulan.
  10. Ketika perbincangan guru harus bergerak dari satu kumpulan ke satu kumpulan yang lain, menegaskan perkara-perkara yang perlu dibincangkan dan mengarahkan perbincangan menghala kearah perkara yang betul.
  11. Setelah tamat perbincangan guru boleh meminta laporan daripada setiap kumpulan. Hasil perbincangan boleh dicatatkan dipapan tulis mengikut mana-mana yang penting. Setelah dibincang guru bolehlah menjalankan aktiviti penulisan dan sebagainya.
 TEKNIK FORUM
  1. Forum merupakan satu sesi perbincangan yang melibatkan beberapa ahli panel untuk mencanai fikiran dan mengemukan pendapat tentang sesuatu tajuk, dimana ia dijalankan secara formal.
  2. Teknik berforum merupakan salah satu aktiviti lisan yang sesuai, di mana pelajar akan berkongsi pengetahuan dan pengalaman secara langsung untuk meningkatkan kemahiran menyampaikan idea dan fikiran dengan jelas, objektif, kreatif dan rasional.
  3. Untuk menjayakan aktiviti ini, tajuk forum yang dipilih haruslah mudah, menarik dan mencabar selaras dengan kemahiran, pencapaian serta peringkat umur pelajar.
  4. Persediaan yang rapi perlu dibuat sama ada sebelum, semasa dan selepas aktiviti.
TEKNIK PERBAHASAN
  1. Bahas ialah pengucapan sama ada menyokong atau membangkang sesuatu pendirian dengan alasan yang logik dan idea yang tersusun.
  2. Teknik perbahasan ini sesuai diajar untuk semua peringkat pelajar di sekolah menengah.
  3. Antara manfaat teknik ini ialah :
  4. Memperkembangkan kecekapan berkomunikasi dengan berkesan
  5. Melatih berfikir dengan pantas dan melahirkan buah fikiran dengan tepat dan teratur
  6. Menguasai kemahiran berbahasa dengan menggunakan struktur ayat yang betul dan laras bahasa yang sesuai.
  7. Mengemukakan hujah secara rasional, kritis dan kreatif.
  8. Melatih kemahiran mendengar, menaakul, berhujah dan membidas.
  9. Guru perlu mengambil inisiatif sendiri untuk memupuk kebolehan berbahas di kalangan pelajar.
  10. Perkembangan kebolehan berbahas dengan sendirinya akan membawa kepada perkembangan kemahiran berbahasa, perkembangan mental yang positif, peningkatan ilmu dan pemupukan sifat-sifat kepimpinan.
TEKNIK KUIZ
  • Diperkenalkan pada tahun 1940 di England melalui Perbadanan Penyiaran British (B.B.C).
  • Aktiviti kuiz bermula di negara ini setelah dimasukkan dalam masa pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah Inggeris dan diikuti di sekolah-sekolah Melayu.
  • Tujuannya ialah :
  • Guru dapat mengukuhkan pengajaran dan memantapkan pemahaman pelajar mengenai topik-topik tertentu.
  • Pelajar dapat mengulangkaji sambil bergembira.
  • Pelajar dapat melupakan permasalahan mereka dengan mengemukakan soalan-soalan secara teka-teki.
  • Pelajar dapat belajar kaedah cara berfikir yang baru.
  • Membantu pelajar memahami sistem Bahasa Melayu terutama dari segi bentuk, makna dan penggunaan bahasa yang tepat.
  • Terdapat 2 bentuk pengajaran dan pembelajaran bahasa melalui teknik ini iaitu :
  • Ia dijalankan secara spontan pada peringkat permulaan, perkembangan dan penutup. Ini bermakna kuiz dapat dijadikan sebagai aktiviti rangsangan, penggayaan, pemulihan dan pengukuhan.
  • Kuiz sebagai aktiviti pertandingan meliputi pertandingan antara pelajar.